PEMBERI PINJAM WANG / KREDIT KOMUNITI
- Dimanakah pengguna boleh membuat aduan berkenaan aktiviti KK/PPW dan PPG?
Sebarang aduan berkaitan KK/PPW atau PPG berlesen boleh dibuat melalui Sistem Aduan Bersepadu KPKT (SAB) di laman web, https://aduan.kpkt.gov.my/aduan atau pengadu boleh hadir sendiri ke Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK), KPKT.
- Apakah hak-hak peminjam?
- Setiap peminjam hendaklah diberikan penyataan atau maklumat yang tidak mengelirukan bagi setiap pinjaman yang dibuat.
- Setiap perjanjian pinjaman hendaklah menggunakan borang pinjaman yang ditetapkan oleh Kementerian sahaja iaitu Jadual J (pinjaman tanpa cagaran) atau Jadual K (pinjaman dengan cagaran).
- Peminjam adalah berhak untuk diberikan satu (1) salinan perjanjian secara percuma. Peminjam juga hendaklah mendapatkan resit bayaran bagi setiap bayaran balik pinjaman yang dibuat.
- Peminjam turut diingatkan supaya tidak menandatangani borang perjanjian yang kosong.
- Sebarang transaksi pembayaran pinjaman hendaklah diterima selepas perjanjian diisi penuh, dimatikan setem dan pembayaran dibuat di premis PPW yang berkenaan.
- Berapakah kadar faedah yang dikenakan bagi setiap pinjaman?
- Kadar faedah bagi pinjaman bercagar adalah tidak melebihi 12% setahun.
- Kadar faedah pinjaman tidak bercagar adalah tidak melebihi 18% setahun.
- Bagaimana saya hendak tahu sama ada sesebuah syarikat itu mempunyai lesen sah sebagai Pemberi Pinjam Wang/ Kredit Komuniti atau tidak?
Orang awam boleh membuat semakan melalui aplikasi i-KrediKom yang dilancarkan pada 5 April 2019 yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store ataupun App Store.
- Apakah butir-butir yang akan ditunjukkan pada lesen tersebut?
- Nama individu, syarikat atau firma PEMBERI PINJAM WANG;
- Alamat berdaftar pemohon lesen;
- Alamat operasi perniagaan Pemberi Pinjam Wang yang diluluskan;
- Syarat-syarat yang dikenakan oleh Pendaftar;
- Nombor lesen;
- Tarikh sah mula lesen;
- Tarikh sah tamat tempoh lesen; dan
- Tandatangan Pendaftar/ Timbalan Pendaftar yang meluluskan pengeluaran lesen tersebut.
- Mengapakah perjanjian pinjaman perlu diakusaksi?
- Mengikut peruntukan Seksyen 27, AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951, setiap perjanjian memberi pinjam wang hendaklah diakusaksi di hadapan seorang Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi, seorang pegawai dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang, Pesuruhjaya Sumpah, Jaksa Pendamai, Pegawai Daerah atau orang-orang yang dilantik oleh Menteri untuk berbuat sedemikian.
- Pengakusaksi hendaklah menerangkan terma-terma akan perjanjian memberi pinjam wang kepada peminjam dan hendaklah mengesahkan pada perjanjian tersebut bahawa peminjam tersebut telah memahami maksud terma-terma dalam perjanjian itu.
- Perjanjian pinjaman yang tidak diakusaksi dengan betul boleh menyebabkan perjanjian tersebut terbatal, tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.
- Bolehkah seseorang Pemberi Pinjam Wang mengenakan kadar faedah suatu jumlah yang melebihi jumlah pokok?
Tidak boleh, kecuali dengan perintah Mahkamah setelah mengambil kira keadaan pinjaman tersebut selaras dengan subseksyen 17A (2) AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951.
- Apakah bentuk bayaran yang boleh dikenakan kepada saya oleh Pemberi Pinjam Wang semasa memohon pinjaman daripada mereka?
Mengikut peruntukan Seksyen 23 AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951, bayaran kos pinjaman yang boleh dikenakan oleh seseorang Pemberi Pinjam Wang kepada peminjam adalah:
- Fee duti setem yang perlu dibayar di sisi undang-undang;
- Kos-kos guaman yang berhubung dengan rundingan pemberi pinjaman; atau
- Jika terdapat apa-apa kos, caj-caj, atau perbelanjaan sedemikian selain daripada tersebut di atas, jumlah tersebut hendaklah boleh didapat balik sebagai suatu hutang yang kena dibayar kepada peminjam atau ditolak terhadap jumlah hutang sebenarnya.
- Bolehkah seseorang Pemberi Pinjam Wang atau wakilnya datang menuntut hutang ansuran pinjaman mereka di alamat kediaman saya, pejabat atau mana-mana lain tempat?
- Pemberi Pinjam Wang atau wakilnya tidak dibenarkan sama sekali datang ke rumah peminjam atau pejabat atau lain-lain tempat selain daripada di alamat operasi perniagaannya yang diluluskan sahaja bagi tujuan mengutip bayaran ansuran.
- Jika didapati Pemberi Pinjam Wang atau wakilnya berbuat demikian dengan cara mengganggu atau mengugut peminjam atau keluarga peminjam adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 29B AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951, iaitu boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 tetapi tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, dan dalam kes kedua atau berturutan boleh dikenakan dengan sebatan sebagai tambahan hukuman.
- Apakah tindakan yang boleh diambil ke atas saya jika saya lewat menjelaskan ansuran hutang?
Seperti yang terkandung di dalam perjanjian pinjaman di bawah tajuk ‘keingkaran’, Pemberi Pinjam Wang berhak mengenakan faedah ringan atas kadar 8% setahun dari jumlah pokok dan faedah yang tertunggak dikira hari ke hari sehinggalah jumlah tersebut dijelaskan sepenuhnya.
- Apakah tindakan yang boleh diambil ke atas saya jika gagal menjelaskan hutang kepada Pemberi Pinjam Wang?
- Mengikut perjanjian pinjaman di bawah tajuk “hak tindakan”, jika peminjam gagal melunaskan hutangnya dalam tempoh 28 hari selepas tempoh genap tarikh bayaran ansuran atau melakukan perbuatan kebangkrapan secara terpaksa atau sukarela, Pemberi Pinjam Wang berhak untuk menamatkan perjanjian itu.
- Pemberi Pinjam Wang dikehendaki memberi notis 14 hari bagi tujuan menamatkan perjanjian itu dan;
- Jika dalam tempoh tersebut peminjam tidak dapat juga menjelaskan hutangnya, perjanjian itu terbatal; dan
- Tindakan menuntut baki jumlah hutang termasuk faedah serta lain-lain kos guaman dan mahkamah akan dituntut oleh pihak Pemberi Pinjam Wang di Mahkamah; dan
- Jika pinjaman bercagar, Pemberi Pinjam Wang berhak ke atas cagaran tersebut mengikut proses undang-undang.
- Bolehkah saya menyemak rekod akaun lejar pinjaman saya dengan Pemberi Pinjam Wang?
- Ya, boleh.
- Mengikut Seksyen 18 AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951, Pemberi Pinjam Wang diwajibkan menyimpan satu buku akaun yang ditetapkan bagi setiap transaksi pinjaman pelanggan yang mengandungi butir-butir lengkap pinjaman dan jadual pembayaran balik.
- Jika Pemberi Pinjam Wang terbabit gagal berbuat demikian telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen ini yang boleh dihukum denda RM10,000, atau dalam keadaan kesalahan berterusan, dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 sehari atau bahagian hari ketika mana kesalahan itu dilakukan.
- Di bawah Seksyen 19 AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951, peminjam atau melalui wakilnya berhak dengan secara bertulis untuk mendapatkan penyata akaun dalam angka-angka inggeris yang ditandatangan oleh Pemberi Pinjam Wang menunjukkan butir-butir pinjaman dan ansuran lengkap (dalam bentuk jadual pertama seperti dalam perjanjian pinjaman) dan peminjam perlu membuat bayaran minima bagi tujuan ini.
- Adakah saya boleh mengenal pasti mana-mana perniagaan Pemberi Pinjam Wang berlesen melalui iklan?
- Ya
- Mana-mana orang yang ingin membuat iklan berbentuk perniagaan sebagai Pemberi Pinjam Wang dimestikan mendapat permit iklan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan.
- Jika gagal mendapatkan permit telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951 yang boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.
- Bagaimana saya hendak membezakan antara Pemberi Pinjam Wang yang berlesen dan tidak berlesen melalui iklan?
Mengikut Peraturan 8 Peraturan-peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Perlesenan) 2003*, setiap iklan samada dalam bentuk papan iklan, banner atau kad mesti mengandungi butir-butir berikut:
- Nombor lesen Pemberi Pinjam Wang dan tarikh pengesahannya;
- Nombor permit iklan;
- Nama, alamat dan nombor telefon Pemberi Pinjam Wang berlesen; dan
- Kadar faedah yang ditawarkan.
- Apakah cara-cara lain untuk saya mengenalpasti samada sesuatu premis itu menjalankan perniagaan Pemberi Pinjam Wang secara sah?
Semakan boleh dibuat melalui Portal Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan di alamat http://www.kpkt.gov.my atau boleh berhubung terus melalui talian telefon 03-8000 8000, atau datang sendiri ke Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.
- Adakah apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Pemberi Pinjam Wang berlesen yang tidak mengikut peraturan pinjaman wang?
- Perniagaan sebagai Pemberi Pinjam Wang adalah di bawah peruntukan AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951 di mana setiap pengusaha Pemberi Pinjam Wang dikehendaki mematuhi segala peraturan dan kehendak-kehendak Akta 400.
- Sebarang ketidakpatuhan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil di bawah AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951 mengikut kesalahan-kesalahan yang dilakukan di samping akan menyebabkan perjanjian pinjaman itu terbatal, tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.