mel E-mail  

Pengisytiharan Labuan Sebagai Wilayah Persekutuan
16 April 1984
 

Pada mulanya cadangan meletakkan Pulau Labuan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan adalah diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Harris Mohd. Salleh selepas mesyuarat Barisan Nasional di Kuala Lumpur pada 1 Ogos 1983. Dewan Undangan negeri Sabah telah bersidang pada 8 Mac 1984 untuk meluluskan Enakmen Wilayah Persekutuan Labuan 1984 (Federal Territory Of Labuan Enactment 1984). Pada 16 April 1984, Wilayah Persekutuan Labuan ditubuhkan secara rasminya mengikut Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984. Sempadan-sempadan negeri Sabah telah diubah dengan mengeluarkan Wilayah Persekutuan Labuan. Sebagaimana yang termaktub melalui peruntukan Perkara 3 dan Perkara 4 Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 1984. Labuan sebagai Wilayah Persekutuan akan terdiri daripada Pulau Labuan dan semua wilayah dengan lingkungan 4.8km (3 batu nautika) daripada pulau berkenaan, termasuk pulau-pulau Rusukan Besar, Rusukan Kecil, Kuraman, Burong, Papan dan Daat.

Ia akan ditadbir di bawah Kerajaan Persekutuan dan diletakkan di bawah kawalan Menteri. Sementara itu di Labuan tarikh 16 April 1984 menjadi tarikh bersejarah dan penuh bermakna kepada penduduknya. Di Padang Bandaran, ribuan penduduk Labuan menyaksikan Perdana Menteri pada masa itu, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir B. Mohamad dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Mohd. Salleh menandatangani dokumen "Perjanjian Labuan" yang menukarkan status Labuan sebagai Wilayah Persekutuan. Pelbagai acara dan majlis seperti Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional, Perasmian Taman Damai di Layang-layangan, pertandingan gasing serta perarakan tanglung dan kereta berhias telah diadakan untuk memeriahkan hari bersejarah Labuan.

Halaman-halaman: 1  2