mel E-mail  

Perutusan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan


dr fary

Bismillahhirahmannirrahim
Assalammualaikum wrt. dan Salam Sejahtera

Dengan izin Allah SWT. Ini adalah permulaan hari yang paling menarik dan mencabar bagi saya. Saya amat teruja dan berbesar hati diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Perbadanan Labuan. Dengan rendah hati saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mempercayai dan memberi saya kesempatan ini.

Saya dimaklumkan bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak inisiatif telah dilaksanakan untuk merangsang kemajuan di Wilayah Persekutuan Labuan. Pelan Induk Labuan telah menyediakan rangka kerja yang perlu untuk membangunkan lagi pulau ini namun pelan pembangunan ini masih jauh. Dalam bergerak ke hadapan, adalah penting untuk senantiasa berusaha untuk membuat pembaharuan dan mengguna pakai dasar proses innovasi dalam semua aspek operasi.

Seterusnya, kita mesti memastikan tahap amalan piawaian global dipraktikkan. Memperkukuhkan inisiatif hijau dalam pengurusan sisa pepejal, kelestarian alam sekitar dan produk marin di Pulau ini juga akan diberi keutamaan. Disamping itu, aspek penyampaian perkhidmatan perlu dipertingkatkan meliputi kemudahan pelabuhan dan feri, kemudahan awam dan prasarana bagi memenuhi hasrat masyarakat, komuniti pelancong dan pelabur. Satu lagi fokus utama adalah untuk menarik pelaburan dan mempromosikan aktiviti perniagaan serta industri pelancongan dengan tumpuan yang lebih kukuh terhadap pelancongan kesihatan.

Teknologi berkembang pesat di sekitar kita, maka seharusnya kita melakukan kerja dengan lebih kreatif dan memanfaatkan teknologi digital. Memperluaskan kerjasama antarabangsa dan menjalin persahabatan dengan rakan serantau dalam bidang utama strategik akan turut dikenalpasti. Untuk terus maju, komuniti setempat akan diberikan peranan yang lebih besar untuk seiring dengan  Perbadanan Labuan memakmurkan dan memajukan lagi pulau ini.

Marilah kita mulakan perjalanan baharu, menimba pengalaman serta meningkatkan kemahiran; juga meletakkan sasaran dan matlamat tinggi untuk Labuan!
Bersama-sama kita terus gigih memajukan Labuan.


Terima kasih & Salam Hormat,
Dr. Fary Akmal Osman