mel E-mail  

BAHAGIAN VI


BAHAGIAN VI

AM

Obligasi menyimpan rahsia
 
26. (1) Kecuali bagi mana-mana maksud Akta ini atau bagi maksud apa-apa prosiding sivil atau jenayah di bawah mana-mana undang-undang bertulis, tiada anggota, pegawai atau pekhidmat Perbadanan boleh menzahirkan apa-apa maklumat yang telah diperolehnya semasa menjalankan kewajipannya dan yang tidak disiarkan menurut Akta ini.
  (2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau kedua-duanya.
 
Perlindungan pegawai dan pekhidmat
 
27.   Tiada tindakan atau pendakwaan boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap -
 
    (a) Ketua Pegawai Eksekutif atau mana-mana pegawai atau pekhidmat lain yang dilantik dengan sewajarnya di bawah Akta ini bagi atau atas sebab atau berkenaan dengan apa-apa perbuatan yang diperintahkan supaya dilakukan atau yang dilakukan bagi maksud melaksanakan Akta ini; dan
    (b) mana-mana orang lain bagi atau oleh sebab atau berkenaan dengan apa-apa perbuatan yang dilakukan atau berupa sebagai dilakukan olehnya di bawah perintah, arahan atau suruhan Ketua Pegawai Eksekutif atau mana-mana pegawai atau pekhidmat lain yang dilantik dengan sewajarnya di bawah Akta ini jika perbuatan itu dilakukan dengan suci hati dan dengan mempercayai dengan munasabah bahawa perbuatan itu perlu bagi maksud yang diniatkan untuk dicapai dengannya.
 
Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948
 
28.   Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 [ Akta 198 ] hendaklah terpakai bagi apa-apa tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding terhadap Perbadanan atau terhadap mana-mana anggota, pegawai, pekhidmat atau ejen Perbadanan berkenaan dengan apa-apa perbuatan, keabaian atau keingkaran yang dibuat atau dilakukan olehnya atas sifat yang sedemikian itu.
 
Pekhidmat awam
 
29.   Semua anggota, pegawai dan pekhidmat Perbadanan, semasa menunaikan kewajipan mereka sebagai anggota, pegawai dan pekhidmat Perbadanan, hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan [ Akta 574 ].
 

Halaman-halaman: 1  2