mel E-mail  

BAHAGIAN IV


BAHAGIAN IV

KEWANGAN

Kumpulan Wang
 
13. (1) Suatu kumpulan wang yang hendaklah dikenali sebagai "Kumpulan Wang Perbadanan Labuan" yang hendaklah ditadbirkan dan dikawal oleh Perbadanan adalah ditubuhkan.
  (2) Kumpulan Wang hendaklah terdiri daripada -
 
    (a) apa-apa jumlah wang yang diperuntukkan dari semasa ke semasa bagi maksud Akta ini oleh Parlimen;
    (b) apa-apa jumlah wang yang dibayar dari semasa ke semasa kepada Perbadanan daripada pinjaman yang diberikan oleh Perbadanan;
    (c) wang yang didapati daripada pengendalian apa-apa projek, skim atau perusahaan yang dibiayai daripada Kumpulan Wang;
    (d) wang yang didapati atau terbit daripada apa-apa harta, pelaburan, gadai janji, gadaian atau debentur yang diperoleh oleh atau yang terletak hak pada Perbadanan;
    (e) apa-apa harta, pelaburan, gadai janji, gadaian atau debentur yang diperoleh oleh atau yang terletak hak pada Perbadanan;
    (f) jumlah wang yang dipinjam oleh Perbadanan bagi maksud memenuhi apa-apa obligasinya atau menunaikan mana-mana kewajipannya; dan
    (g) segala jumlah wang atau harta lain, selain wang yang disebut dalam subseksyen 17(2), yang mungkin dengan apa-apa cara menjadi kena dibayar kepada atau terletak hak pada Perbadanan berkenaan dengan apa-apa perkara yang bersampingan dengan fungsi, kuasa dan kewajipannya.
 
Perbelanjaan yang hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang
 
14.   Kumpulan Wang hendaklah dibelanjakan bagi maksud -
 
    (a) memberikan pinjaman di bawah seksyen 23;
    (b) membayar apa-apa perbelanjaan yang dilakukan dengan sah oleh Perbadanan, termasuk fi dan kos ukur dan guaman dan fi dan kos lain, dan saraan pegawai dan pekhidmat Perbadanan, termasuk pemberian pinjaman, elaun persaraan, pencen atau ganjaran;
    (c) membayar apa-apa belanja, kos atau perbelanjaan lain yang dilakukan atau disetujui terima dengan sepatutnya oleh Perbadanan pada melaksanakan fungsi-fungsinya atau menjalankan kuasa di bawah Akta ini;
    (d) membeli atau menyewa loji, kelengkapan, jentera dan bahan, memperoleh tanah dan aset lain, dan mendirikan bangunan-bangunan, dan menjalankan apa-apa kerja dan pengusahaan lain pada melaksanakan atau menjalankan kuasa-kuasanya di bawah Akta ini;
    (e) membayar balik apa-apa wang yang dipinjam di bawah Akta ini dan bunga yang kena dibayar atasnya; dan
    (f) pada amnya, membayar apa-apa perbelanjaan bagi melaksanakan peruntukan Akta ini.
 
Pemeliharaan Kumpulan Wang
 
15.   Maka adalah menjadi kewajipan Perbadanan untuk memelihara Kumpulan Wang dengan melaksanakan, menjalankan dan menunaikan fungsi, kuasa dan kewajipannya di bawah Akta ini dengan sedemikian cara supaya dapat dipastikan bahawa jumlah hasil Perbadanan cukup untuk membayar semua jumlah wang yang boleh dipertanggungkan dengan sepatutnya pada akaun hasilnya, termasuklah susut nilai dan bunga atas modal, dari setahun ke setahun.
 

Halaman-halaman: 1  2