mel E-mail  

Bahagian III


Bahagian III

PENGERUSI, PEGAWAI DAN PEKHIDMAT PERBADANAN

Pengerusi
 
9. (1) Tanpa menjejaskan peruntukan lain Akta ini, Pengerusi hendaklah melaksanakan apa-apa kewajipan yang ditentukan oleh Menteri dari semasa ke semasa.
  (2) Perbadanan boleh, dengan kelulusan Menteri, mewakilkan kepada Pengerusi semua atau mana-mana fungsi, kuasa atau kewajipan yang diletakhakkan pada atau dikenakan ke atas Perbadanan oleh Akta ini dan mana-mana fungsi, kuasa atau kewajipan yang diwakilkan sedemikian boleh dilaksanakan, dijalankan atau ditunaikan oleh Pengerusi atas nama dan bagi pihak Perbadanan.
  (3) Tiap-tiap perwakilan di bawah subseksyen (2) hendaklah disiarkan dalam Warta.
 
Ketua Pegawai Eksekutif
 
10. (1) Perbadanan boleh, dengan kelulusan Menteri, melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang difikirkannya wajar.
  (2) Ketua Pegawai Eksekutif hendaklah bertanggungjawab bagi -
 
    (a.) penyediaan program, skim dan projek untuk pertimbangan Perbadanan;
    (b.) pelaksanaan segala program, skim dan projek Perbadanan; dan
    (c.) pelaksanaan keputusan Perbadanan dan arahan Pengerusi.
 
  (3) Ketua Pegawai Eksekutif hendaklah mempunyai kuasa pengawalan am ke atas pegawai dan pekhidmat lain Perbadanan.
  (4) Ketua Pegawai Eksekutif hendaklah melaksanakan apa-apa kewajipan tambahan yang diarahkan oleh Perbadanan dari semasa ke semasa.
  (5) Dalam menunaikan kewajipannya, Ketua Pegawai Eksekutif hendaklah bertindak di bawah kuasa am dan mengikut arahan am Perbadanan.
  (6) Jika Ketua Pegawai Eksekutif tidak ada di Malaysia buat sementara atau tidak berupaya buat sementara oleh sebab sakit atau kerana apa-apa sebab lain untuk melaksanakan kewajipannya, Perbadanan boleh mengarahkan mana-mana pegawai lain untuk melaksanakan kewajipan Ketua Pegawai Eksekutif dalam masa Ketua Pegawai Eksekutif tidak ada atau tidak berupaya buat sementara itu.
 
Pelantikan pegawai dan pekhidmat lain Perbadanan
 
11. (1) Tertakluk kepada apa-apa peraturan yang dibuat di bawah subseksyen (3), Perbadanan boleh melantik, atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang difikirkannya wajar, pegawai dan pekhidmat lain yang perlu bagi menjalankan maksud Akta ini.
  (2) Tiada seorang pun layak diambil khidmat sebagai pegawai atau pekhidmat Perbadanan jika dia, secara langsung atau secara tidak langsung, mempunyai sendiri atau melalui pekongsinya, apa-apa syer atau kepentingan mengenai apa-apa kontrak atau kontrak yang dicadangkan dengan, untuk atau bagi pihak Perbadanan.
  (3) Perbadanan boleh, dengan kelulusan Menteri membuat peraturan berkenaan dengan syarat perkhidmatan pegawai dan pekhidmat Perbadanan.
 
Tatatertib
 
12.   Perbadanan hendaklah mempunyai kuasa tatatertib ke atas semua pegawai dan pekhidmatnya dan hendaklah menjalankan kawalan tatatertib berkenaan dengan semua orang sedemikian.