mel E-mail  

Bahagian I


UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Akta 609

Akta Perbadanan Labuan 2001

Suatu Akta untuk memansuhkan Akta Lembaga Pembagunan Labuan 1992 dan membatalkan Surat Cara Majlis Perbandaran Labuan 1983; untuk membubarkan Lembaga Pembangunan Labuan dan Majlis Perbandaran Labuan; untuk menubuhkan Perbadanan Labuan untuk menggantikan Lembaga Pembangunan Labuan dan Majlis Perbandaran Labuan; dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

 

DIPERBUAT oleh Parlimen Malaysia seperti yang berikut :

[1 Julai 2001, P.U. (B) 128/2001]


BAHAGIAN I

PERMULAAN

Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
 
1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Perbadanan Labuan 2001.
  (2) Akta ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta dan Menteri boleh menetapkan tarikh mula berkuat kuasa yang berlainan bagi peruntukan yang berlainan dalam Akta ini.
 
Tafsiran
 
2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain -
     

"Ketua Pegawai Eksekutif" ertinya Ketua Pegawai Eksekutif yang dilantik di bawah subseksyen 10(1) dan termasuklah mana-mana pegawai yang diarahkan di bawah subseksyen 10(6) untuk melaksanakan kewajipan-kewajipan Ketua Pegawai Eksekutif;

     

"Kumpulan Wang" ertinya Kumpulan Wang yang ditubuhkan di bawah seksyen 13;

     

"Majlis Penasihat" ertinya Majlis Penasihat yang ditubuhkan di bawah seksyen 6;

     

"Menteri" ertinya Menteri Kewangan;

     

"Pengerusi" ertinya Pengerusi Perbadanan yang dilantik di bawah seksyen 5;

     

"Perbadanan" ertinya Perbadanan Labuan yang ditubuhkan di bawah seksyen 3.